IQNA

Sistem ekonomi Islam bawa kebaikan untuk semua

7:05 - October 19, 2021
Berita ID: 3100298
TEHRAN (IQNA) - Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, mengajak rakyat negara ini untuk memahami prinsip ekonomi Islam yang bukan sahaja adil kepada semua peringkat rakyat, malah membawa kemakmuran kepada negara.

Katanya, sistem ekonomi Islam memastikan harta tidak berlegar dalam kalangan golongan yang berharta semata-mata.

“Malah, cukai diambil daripada lebihan kekayaan atau harta yang tidak berganjak supaya kekayaan itu terus berlegar dan menghidupkan kembali ekonomi,” katanya ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Negara, hari ini.

Beliau yang Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia berkata, cukai yang dikutip dalam sistem ekonomi Islam juga digunakan untuk membantu golongan miskin dan memerlukan bantuan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya rancangan fiskal dan RMK12 dalam strategi hasil jangka masa sederhana, mengambil kira pengenalan dasar percukaian yang tidak membimbangkan golongan yang sepatutnya mengoptimumkan lebihan kekayaan.

Selain itu, katanya ia perlu memastikan golongan sasaran yang tepat berdasarkan geografi wilayah dan garis pendapatan serta tanggungan penerima.

“Saya juga mencadangkan kepada kerajaan supaya mewujudkan jawatankuasa khas untuk memantau status pematuhan syariah ke atas sistem kewangan yang digunakan oleh kerajaan, agensi kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC),” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu memastikan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mematuhi syariah dalam RMK12. 

harakahdaily.net

captcha