IQNA

43 maut dalam serangan bersenjata di Nigeria

3:46 - October 20, 2021
Berita ID: 3100305
TEHRAN (IQNA) - Seorang lelaki bersenjata menembak mati 43 orang dalam serangan di sebuah pasar di kampung Goronyo, barat laut Sokoto, Nigeria.

Jurucakap pemerintah Sokoto, Muhammad Bello, berkata 43 orang disahkan maut selepas serangan disyaki didalangi kumpulan penyamun di kampung berkenaan.

"Serangan kumpulan ini yang menyamun penduduk kampung semakin menjadi ganas sejak kebelakangan ini. Mereka ini turut memiliki banyak senjata.

"Ketika kejadian kelmarin (Ahad) penduduk keluar berbelanja ke pasar dan ramai peniaga juga di pasar berkenaan," katanya.

Kumpulan bersenjata di barat laut dan tengah Nigeria sudah bertahun-tahun menyerang dan menjarah kampung tetapi serangan menjadi lebih ganas sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Jurucakap polis, Sanusi Abubakar turut mengesahkan bahawa penyamun menyerang Goronyo pada Ahad lalu.

"Kita sedang menyiasat dengan menyeluruh termasuk mengesan kumpulan yang melakukan serangan berdarah ini," katanya.

Pada 8 Oktober lalu, kumpulan itu juga turut menyerbu pasar di kampung lain di daerah Sabon Birni berhampiran sempadan Niger hingga membunuh 19 orang.

Sejak bulan lalu, tentera Nigeria melakukan operasi udara dan darat terhadap kem penyamun di Zamfara.

Keganasan meningkat sejak beberapa bulan lalu di barat laut, memaksa ribuan orang meninggalkan rumah mereka, hingga menimbulkan kebimbangan menjadi krisis kemanusiaan.

Sejak Januari 2020, kira-kira 50,000 orang melarikan diri dari kediaman mereka di barat laut dan lebih 80,000 orang melarikan diri ke negara jiran Niger sejak dua tahun lalu menurut Pertubuhan Migrasi Antarabangsa.

bharian.com

captcha